Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh bercakap kepada pemberita pada sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak akan gulung tikar dan berdepan risiko muflis sekiranya syarikat berkaitan kerajaan itu (GLC) itu tidak mendapat bantuan daripada syarikat pro Israel seperti Blackrock.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana masih banyak syarikat di luar negara yang selari dengan pendirian Malaysia dalam perjuangan Palestin boleh membantu menyelamatkan MAHB.

“Hari ini seluruh rakyat terkesan, takkan kita nak teruskan (jual MAHB) sebab kita ada banyak lagi syarikat di luar yang ada kepakaran dan boleh bantu yang MAHB boleh minta bantuan.

“Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, bankrap, saya tak rasa begitu sebab banyak lagi syarikat di luar sana yang boleh bantu MAHB,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika Malaysia bertindak memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel, ekonomi negara bakal terjejas.

Perdana Menteri berkata, ini kerana dikhuatiri tindakan sama boleh dilakukan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, tindakan kerajaan membatalkan sesuatu keputusan hingga menjejaskan ekonomi negara bukan perkara baharu bahkan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan pernah dilakukan.

“Dulu bila Kerajaan PH 22 bulan memutuskan untuk tidak meneruskan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan tidak buat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pun ada impak ekonomi kepada negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua menteri dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah menyatakan pandangan mereka untuk menolak syarikat pro-Isreal itu dalam mesyuarat parti itu malam semalam.

“Sudah tentu hari ini, inilah ketetapan kita, kita berharap semua ketetapan ini dapat dirasai oleh semua menteri dan setiap pemimpin yang ada tak kira blok pembangkang atau kerajaan.

“Ini bukan soal politik, ini soal kemanusiaan, kita perlu berikan mesej jelas kepada mereka kita tidak menyokong waima kamu tak terlibat dalam libat urus ini tapi kamu memilki syarikat ini, Blackrock ini adalah dana pelaburan,” katanya.

Ketika ditanya tentang keputusan penjualan itu tidak dibawa kepada Jemaah Menteri, beliau bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu.

“Saya tak pasti sebab saya tidak berada dalam Jemaah Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette