Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini diarahkan untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu termasuk mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon atau Applicant Information Package (AIP) pada 1 Julai depan.

Menurut beliau, proses itu akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kementerian Komunikasi komited bagi melaksanakan keputusan kerajaan agar negara beralih kepada model dwi rangkaian 5G dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G sekali gus memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan.

“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua ini akan dapat membantu usaha meningkatkan liputan 5G, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan 5G yang baik untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Fahmi berkata, pihaknya turut menyambut baik pengumuman oleh Digital Nasional Berhad (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan atau `conditions precedent’ bagi Share Subsription Agreement (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

Jelas beliau, ia merupakan antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwi rangkaian 5G di Malaysia.

Semalam dalam kenyataannya, DNB mengesahkan kesemua syarat duluan yang terkandung di bawah SSA telah berjaya dipenuhi.

Menurut DNB, ia merupakan langkah penting sebelum SSA itu dijangka lengkap pada akhir bulan ini untuk kesemua MNO selain Telekom Malaysia Bhd (TM) meningkatkan pegangan ekuitinya dalam DNB. – MalaysiaGazzete