Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan pindaan akta Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan berkait jenayah siber dilihat mampu memperkukuhkan undang-undang sedia ada bagi mengenakan tindakan terhadap ‘keldai akaun’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat beberapa seksyen yang akan terlibat dalam penambahbaikan tersebut.

“Perjumpaan telah dibuat oleh JSJK bersama Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk menerangkan mengenai cadangan baharu itu

“Secara peribadinya, MDN ambil maklum dan mungkin akan dibentangkan di Parlimen mengenai penambahbaikan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, penambahbaikan itu mungkin hanya melibatkan tindakan ke atas keldai akaun.

“Buat masa ini, undang-undang yang ada masih tidak mencukupi kerana kebanyakan pertuduhan dibuat di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955,”  jelasnya.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan akan memperhalusi pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan hasil perbincangan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencadangkan pindaan dilakukan terhadap undang-undang itu.

Jelas Saifuddin, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan menambah keanggotaan di JSJK bagi memperkasa pasukan berkenaan. – MalaysiaGazette