Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tindakannya memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel yang beroperasi di negara lain akan menyebabkan ekonomi Malaysia terjejas adalah sesuatu yang mengecewakan.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau pelik dengan kenyataan itu kerana katanya tidak mungkin Anwar tidak memahami keresahan rakyat Malaysia.

“Rakyat boleh membezakan ‘hubungan dagang’ yang biasa dengan tindakan menjual aset strategik negara (dan mempunyai rekod keuntungan yang sangat baik) tapi dijual kepada entiti yang satu dunia tahu terlibat dengan pembiayaan tindakan genocide terhadap rakyat Palestine!

“Kenyataan ini jika benar menunjukkan pimpinan negara masih dalam sindrom penafian(denial syndrome) yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas menteri Kabinet itu mengulas kenyataan Anwar di sebalik tindakannya memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel di negara itu, ekonomi Malaysia akan terjejas jika perkara sama dilakukan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kenyataan itu jelas menunjukkan kerajaan seolah-olah menyerahkan nasib negara kepada rejim Israel.

“Saya pohon agar pimpinan negara dan kerajaan memperagakan nilai jati diri yang lebih kental dan berwibawa dan tidak menjadikan negara sebagai bahan tebusan dan tekanan kuasa luar,” katanya.

Semalam, Anwar berkata negara tidak ada upaya untuk membatalkan hubungan tersebut kerana ini akan menjejaskan ekonomi negara.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai bidasan terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih oleh Blackrock yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang didakwa membiayai pembunuhan beramai-ramai di Gaza. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here