Setiausaha Agong (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada media berkenaan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebagai peluang terbaik Kerajaan Perpaduan mencipta sejarah sekiranya calon mewakili mereka, Joohari Ariffin menang.

Jelas beliau, PRK Sungai Bakap berbeza dengan PRK lain yang diadakan sebelum ini apabila penyandang parti masing-masing berjaya mengekalkan kemenangan.

“PRK (Sungai Bakap) kali ini memang (Perpaduan) nak menang (tawan semula kerusi) dan kukuhkan kerajaan di Pulau Pinang.

“Berbeza dengan PRK Simpang Pulai semasa (Datuk Seri Salahuddin Ayub) meninggal dunia dan kita berjaya kekalkan (kemenangan) yang ia tidak ada kejutan.

“PRK Kemaman juga menyaksikan (PN) kekal (menguasai kerusi itu) dan ini (Sungai Bakap) kalau sebelum ni Sungai Bakap PN menang tetapi ini peluang terbaik Kerajaan Perpaduan cipta sejarah dengan calon yang dikemukakan kita,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Saifuddin bersama beberapa kepimpinan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) ditemui pemberita selepas mengiringi Joohari ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, pengundi Sungai Bakap diminta membuat penilaian teliti kerana keadaan ketika ini turut berbeza dengan PRN lalu apabila Pulau Pinang berada bersama-sama kerajaan perpaduan.

“Ketika PRN Ogos lalu, ada yang membayangkan kerajaan pusat jatuh dan bukan sedikit yang terpesona dakwaan itu sedangkan keputusan membuktikan kerajaan perpaduan kekal kompak dan berfungsi dengan baik.

“Jadi sekarang ‘clarity’ (jelas) sudah wujud dan jauh berbeza (dengan keadaan dulu). Walaupun kami ambil sikap optimistik tetapi kami kena ‘reach out’ dan mampu buat itu dengan kehadiran (jentera parti) kerajaan perpaduan,” katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan PN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 2 Julai. – MalaysiaGazette