Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, bersama penyokong menghadiri pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon mewakili kerajaan Perpaduan akan memberi fokus berkaitan permasalahan prasarana yang didepani penduduk setempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Joohari Ariffin berkata, pendekatan aspirasi daripada akronim PADU dilihat bersesuaian dengan pelaksanaan kempen di kawasan ini.

“PADU diambil daripada perkataan perpaduan. Jadi saya nak tekankan masalah prasarana yang sering kali membelenggu penduduk Sungai Bakap.

“Antara isu itu termasuk masalah bekalan air, banjir dan kerosakan jalan raya.

“Dengan sokongan padu penyokong dan pimpinan Kerajaan Perpaduan, saya yakin kita akan kembali ke Dewan Negeri sekali gus menyelesaikan isu setempat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan calon yang layak bertanding untuk PRK Sungai Bakap di di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di sini.

Mengulas lanjut Joohari berazam untuk bekerja kuat, sekali gus merealisasikan hasrat dalam menjaga kebajikan penduduk Sungai Bakap.

“Saya mempraktikkan tiga ‘A’ iaitu akhlak, akademik dan anak muda di samping damai di mana saya akan cuba pastikan pada peringkat ini kita usaha untuk melaksanakan kempen politik berakhlak.

“Pendidikan juga amat penting, justeru saya ingin menyeru buat anak muda terutamanya supaya usah menerima sebarang berita bulat-bulat.

“Contohnya, kita bercakap sehingga satu jam setengah, tetapi konteks dalam 30 hingga 40 saat di mana bahagian yang ada kelemahan itu lah yang diperbesarkan menyebabkan membangkitkan rasa marah, bukannya membina pemikiran manusia. Itu kita kena jaga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette