Seramai 16 wanita warga Afrika yang disyaki terlibat kegiatan pelacuran dengan menyewa bilik hotel bajet secara harian di kawasan Bukit Bintang ibu negara ditumpaskan semalam.Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Taktik licik sekumpulan wanita Afrika yang terlibat aktiviti pelacuran di tepi jalan di ibu kota dan membawa mangsa ke bilik hotel bajetĀ  terbongkar.

Sebuah hotel bajet yang disyaki menjadi port mereka menjalankan kegiatan maksiat dan persundalan dengan menawarkan khidmat seks pada harga serendah RM100.

Mereka dikatakan aktif sejak seminggu lalu akhirnya berjaya digempur pihak berkuasa semalam.

Hasilnya sekumpulan wanita warga asing yang berasal dari benua Afrika disyaki terlibat aktiviti pelacuran berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lebih kurang 8.30 malam, pihaknya membuat serbuan di sekitar Bukit Bintang selepas menerima aduan.

“Siasatan awal kita membuat serbuan ke atas sebuah hotel bajet yang dipercayai dijadikan tempat bagi kegiatan pelacuran telah dijalankan.

“Hasil daripada serbuan ini, pihak polis telah menahan seramai 16 wanita warga asing yang berasal dari sebuah negara di benua Afrika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang rampasan hasil tangkapan 16 wanita warga afrika terlibat pelacuran di hotel bajet sekitar kawasan Bukit Bintang semalam. Ihsan IPD Dang Wangi

Tambah Noor Dellhan, kesemua wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan di hotel bajet tersebut.

Dalam serbuan sama juga pihaknya merampas sebanyak 40 keping kondom, 10 tiub gel pelincir, tujuh gulung tisu,14 buah telefon bimbit dan wang tunai RM800 di premis tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran itu melibatkan warga asing dari Afrika yang berselindung di sebalik hotel bajet disewa secara harian untuk aktiviti persundalan tersebut.

“Gadis Afrika ini akan mendapatkan pelanggan di tepi jalan yang terdiri daripada tempatan dan asing kemudian membawa pelanggan ke bilik hotel yang disewa dengan kadar RM110 bagi menawarkan aktiviti perkhidmatan seks dengan caj serendah RM100 sahaja.

“Untuk elak kegiatan persundalan mereka dihidu pihak berkuasa, wanita Afrika akan berpindah dari satu hotel bajet ke hotel bajet yang lain secara licik sebagai tindakan tidak ditangkap polis,” katanya.

Kesemua yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menawarkan tubuh badan yang bermaksud aktiviti persundalan yang memperuntukan penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kesemua mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang pas perjalanan yang sah.

Kesemua individu yang ditahan akan direman pada 23 Jun 2024 bagi tujuan membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette