Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menyelar serangan membuta tuli sejak akhir-akhir terutamanya dengan industri pelancongan di Sabah.

Baru-baru ini, seorang penulis kolum, John Lo mendakwa kejayaan pelacongan Sabah bukan disebabkan oleh MOTAC sebaliknya negeri itu telah banyak terabai sejak tahun 1990-an sehingga kini.

Bagaimanapun, kata King Sing, dakwaan itu agak jahil serta menghina apatah lagi apabila menyebut tentang sumbangan MOTAC selama puluhan tahun kepada pelancongan Sabah sekaligus meningkatkan ekonomi di negeri itu.

Jelas beliau, sejak akhir-akhir sememangnya wujud pihak tertentu yang cuba melakukan serangan terhadapnya terutama apabila beliau cuba melakukan usaha-usaha tertentu bagi membantu industri pelancongan di negara ini.

“Saya minta sangat-sangat, hentilah perbuatan sia-sia ini menyerang MOTAC, kumpulan ini gunakan apa jua platform yang saya pasti untuk agenda peribadi atau meraih modal politik tertentu. Jangan cuba keluarkan komen atau pandangan yang berat sebelah untuk menangkan satu pihak sahaja.

“Banyak sumbangan oleh MOTAC tapi anda kata langsung tidak apa-apa? Serang saya tidak apa, tapi sesekali perkecilkan MOTAC yang berhempas pulas selama puluhan tahun bantu industri pelancongan Sabah. Jangan cakap buta tuli sahaja.

“Sejak saya menerajui MOTAC, kita sebagai satu pasukan dengan penuh dedikasi mempromosikan pelancongan di negara ini termasuklah negeri Sabah itu sendiri. Tapi usaha itu cuba disabotaj dengan pelbagai serangan, langsung tidak masuk akal,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata King Sing lagi, setiap kritikan itu boleh dilakukan dengan cara beradab dan konstruktif bukan melakukan serangan menghina warga MOTAC.

“Saya sedia terima kritikan dan juga cadangan, kita semua terbuka. Sıla hubungi saya secara terus atau duduk berbincang dengan pegawai-pegawai MOTAC, cari penyelesaian yang terbaik. Kita sedia mendengar untuk pastikan industri ini terus mara ke hadapan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

“Tapi jangan cuba lakukan serangan demi serangan, baling batu, sembunyi tangan. Saya sedia terima kritikan bukan serangan atau hinaan terhadap warga kementerian saya. Usaha dan dedikasi mereka sesuatu yang kita tidak boleh kompromi langsung,” tegasnya.

Dalam pada itu, kata King Sing, MOTAC telah mengiktiraf Sabah sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia dan segala usaha antaranya meningkatkan daya saing, kemudahan dan keselamatan terus dipergiatkan.

“Dari Ogos 2023 hingga Mei 2024, kementerian secara aktif telah mengadakan pelbagai pertemuan termasuklah dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji untuk membincangkan kualiti pelancongan Sabah.

“MOTAC juga telah minta kerajaan tempatan untuk menyediakan pelan induk untuk pembangunan pelancongan tapi sepanjang tujuh lapan bulan ini, kita langsung tidak dapat apa-apa perancangan untuk pelan ini walaupun satu muka surat.

“Siapa yang tidak sokong industri pelancongan Sabah ini sebenarnya?” soalnya.

Menurut King Sing, MOTAC hanya fokus isu dan rakyat bukan individu tertentu dan berharap pihak  terbabit  berlaku jujur dan beri pernilaian yang wajar kepada para pegawai MOTAC. – MalaysiaGazette