Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah membuat tangkapan ke atas tiga individu termasuk dua pegawai penguat kuasa kanan selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000.

Menurut sumber, ketiga-tiga individu itu disyaki meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki sebagai balasan melepaskan rakan lelaki  berkenaan yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan antara kira-kira jam 2 hingga 5.30 petang tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan ketika itu dua pegawai penguat kuasa kanan ini bertugas di sebuah daerah di Terengganu,” kata sumber tersebut.

Tambahnya, siasatan awal mendapati duit rasuah tersebut disyaki digunakan oleh salah seorang suspek yang kini bertugas di sebuah daerah di Kedah dan isterinya untuk pelaburan judi secara dalam talian.

Justeru, siasatan juga mendapati wang tersebut pada awalnya dipercayai telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindah ke akaun milik isteri suspek.

“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada pagi esok (Isnin) bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid telah mengesahkan tangkapan ketiga-tiga individu itu selepas dihubungi hari ini.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat selepas ini dalam kes tersebut.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here