Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin (kanan) bersama salah seorang pengusaha syarikat pengangkutan di Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0 di KPDN Pahang hari ini

KUANTAN – Ratusan pengusaha syarikat pengangkutan tidak melepaskan peluang bersemuka dengan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pahang sempena Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0, di sini, hari ini.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, masih ramai yang mahu mendapatkan bantuan semakan permohonan dan khidmat nasihat berkaitan tatacara permohonan subsidi diesel sejak pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu.

“Ada pelbagai soalan yang diajukan pengunjung hari ini yang kita cuba bantu. Contohnya, kenapa ada sesetengah permohonan bertindih, nombor pendaftaran kenderaan yang didaftar tersilap, dan sebagainya.

“Jadi, kita akan bantu dan memberi khidmat nasihat. Hari ini juga didapati hampir 100 orang yang baru mendaftar,” katanya kepada media ketika ditemui di sini.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin

Salah seorang pengusaha, Ramesh A/L Doraraju, 39, memberitahu, dia hadir ke program tersebut setelah dimaklumkan tidak layak untuk membuat permohonan subsidi diesel secara atas talian.

Dia mempunyai empat buah lori bersaiz lima tan dan telah terlibat dalam sektor pengangkutan hasil pertanian sejak tujuh tahun lalu.

“Sebagai pengusaha kecil kenderaan lori, kategori lori saya ni tidak layak dapat subsidi. Jadi, saya nak tahu kenapa tak layak untuk dapat subsidi tu sebab kalau boleh kita nak buat rayuan.

“Tapi program ni memang baguslah untuk rakyat. Kita nak tahu akan datang bagaimana (pelaksanaan), sebab ni baru nak mula kan,” katanya.

Ramesh A/L Doraraju

Selain KPDN, turut terlibat dalam program hari ini adalah syarikat-syarikat minyak yang membantu menguruskan dan memberi penjelasan berkaitan permohonan kad fleet minyak.

Menurut Mageswaran a/l Mannarkrishnan, 44 yang mempunyai sebuah lori perdagangan, kehadiran wakil syarikat minyak pada program ini juga amat membantunya.

“Saya datang untuk buat ‘fleet card’ untuk lori saya. Sebelum ni buat atas talian, tapi tak lepas dan tak dapat penjelasan. Jadi saya datang sini buat permohonan dan lulus segera untuk buat ‘fleet card’. Saya cuma kena tunggu dalam 14 hari sebelum dapat kad tu,” katanya.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin (kiri) bersama wakil syarikat minyak di Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0 di KPDN Pahang hari ini

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel.

Tambahnya, KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun ini selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast