Kombinasi Vigneswaran-Saravanan diyakini masih relevan dalam kalangan masyarakat India.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr M Saravanan yang memenangi jawatan Timbalan Presiden MIC untuk penggal ketiga baru-baru ini membuktikan sokongan tidak berbelah setiap ahli dan pimpinan supaya beliau terus mengemudi parti.

Malah kemenangannya tanpa pencabar membuktikan kepercayaan tinggi serta komitmen ahli MIC terhadap kepimpinannya dalam parti terbesar masyarakat India di negara ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan berkata, kesepakatan ahli untuk sebulat suara memilih Saravanan jelas menunjukkan kepimpinan beliau amat diperlukan.

Terutamanya ketika keadaan politik mencabar masa kini yang memerlukan pemimpin kuat.

Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan

“Datuk Saravanan ibarat tonggak kedua parti selepas Presiden, Tan Sri Vigneswaran Sanasee. Kemenangan tanpa bertanding petunjuk jelas  ahli amat memerlukan gandingan Vigneswaran-Saravanan untuk membawa parti ke tahap lebih baik.

“Walau apa pun pandangan sinis pihak lain hakikatnya MIC masih relevan untuk komuniti India tempatan. Kita berjuang bukan untuk kepentingan politik semata-mata sebaliknya kita sudah memperjuangkan kebajikan masyarakat India sejak lebih tujuh dekad.

“Kemenangan tanpa pertandingan bagi seseorang calon membuktikan keupayaan dan kepercayaan ahli kepada pemimpin itu, kita dalam Pemuda MIC yakin dengan kepimpinan Datuk Saravanan serta tidak sabar untuk bekerja bersama beliau apatah lagi sayap Pemuda yang baharu saya teraju beberapa minggu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Senada dengan Arvind, Ketua Wanita MIC Kebangsaan yang baharu, N Saraswati juga melahirkan penghargaan dengan kemenangan Ahli Parlimen Tapah itu dan berharap pelbagai inisiatif dalam mengembangkan sayap itu akan dapat direalisasikan.

Ketua Wanita Kebangsaan, N Saraswati

“Wanita MIC optimis barisan  kepemimpinan MIC akan berusaha keras memperjuangkan nasib dan hak kaum India negara, selaras dengan prinsip diterapkan kerajaan hari ini. Kejayaan Saravanan terus memegang tampuk kepimpinan sebagai Timbalan Presiden MIC amat dialu-alukan.

“Walaupun saya baru sahaja pegang jawatan nombor satu sayap wanita tetapi saya bukan baharu dalam politik terutamanya membabitkan kepimpinan Wanita MIC. Kita sememangnya sudah lama bersedia untuk bekerja sebagai satu pasukan kukuh, dinamik untuk pasti dan rakyat.

“Tiga tahun akan datang ini adalah antara paling mencabar lagi-lagi bagi terus memastikan parti ini terus kekal relevan dalam kalangan masyarakat India di negara ini.

“Peranan ini memerlukan pengorbanan besar, tanggungjawab dan dedikasi namun kita dalam MIC yakin akan dapat melakukannya dengan baik lagi-lagi dengan sokongan pPresiden kami,” ujarnya.

Untuk makluman, pencalonan bagi jawatan tertinggi parti melibatkan jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan majlis tertinggi peringkat negeri yang berlangsung pagi sehingga jam 1 tengah hari di Ibu Pejabat MIC di sini semalam.

Pilihan raya MIC pada 6 Julai depan akan juga menyaksikan persaingan cukup sengit bagi jawatan Naib Presiden MIC dan kerusi CWC.

Disahkan pertandingan jawatan Naib Presiden MIC melibatkan pertempuran empat penjuru dengan penyandang Datuk T. Mohan, Datuk T. Murugaiah dan Datuk Asojan manakala muka baharu pula, Ahli Dewan Negara, Datuk R Nelson.

Manakala bagi jawatan CWC pula, seramai 45 calon akan bertanding pada pemilihan kali ini.

Pada Mac lepas, Vigneswaran telah diumumkan kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding sewaktu penamaan calon jawatan itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here