KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang disyaki aktif dalam penjualan rangka dan tulang harimau belang ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan di dua lokasi dalam daerah Rompin, Pahang kelmarin.
Sindiket yang didalangi warga tempatan itu turut dipercayai melapah daging serta bahagian tulang hidupan liar itu sebelum disimpan serta dijual di pasaran gelap.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi bersepadu itu dengan melakukan dua serbuan bermula 6 petang hingga 8 malam di kawasan tempat letak kenderaan sebuah premis dan sebuah rumah.
Hasil serbuan itu berjaya membawa kepada tangkapan seramai enam orang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan hidupan liar itu termasuk dua lelaki tempatan yang dipercayai memainkan peranan mencari pembeli bagi urusan penjualan hidupan liar tersebut.
“Turut ditahan termasuklah tiga lelaki orang asli yang disyaki bersubahat dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar serta seorang lagi lelaki tempatan dipercayai menyembunyikan rangka tulang harimau tersebut.
“Harimau Malaya atau harimau belang (panthera tigris jacksonii) ini dikatakan harganya boleh mencecah sehingga RM300,000 dalam pasaran gelap.
“Ia meliputi seluruh anggota badan termasuk tulang, kulit, daging, kuku dan misai yang kononnya boleh dijadikan ubat,” katanya pada hari ini.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dalam OBK itu dianggarkan lebih RM228,000.
Antara yang dirampas adalah beg berisi rangka kepala harimau belang dan satu lagi beg berisi tulang-tulang harimau belang.
“Selain itu, kita juga merampas sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual kepada sindiket serta beberapa telefon pintar milik mereka,” ujarnya lagi.
Keenam-enam suspek itu kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.
Beliau turut menyifatkan kesemua individu yang terlibat dalam jenayah terbabit sebagai individu tamak haloba yang secara tidak langsung mengancam penurunan bilangan hidupan liar itu di dalam hutan.
“Kita tanpa kompromi akan terus menguatkuasakan operasi bagi membanteras sebarang bentuk jenayah ke atas hidupan liar demi mempertahankan spesies hidupan liar itu di Malaysia.
“Kami juga memberi amaran agar mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti pemburuan haram spesies ini atau jenayah hidupan liar lain agar menghentikan serta-merta perbuatan itu,” ujarnya.
Orang ramai juga diharap memberi Kerjasama dengan menyalurkan segera sebarang aduan tentang jenayah berkaitan hidupan liar terus ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.
Sebelum ini Jabatan Perhilitan pernah merekodkan kes penjualan anak harimau hidup secara haram dengan harga sekitar RM3,000 hingga RM5,000.- MalaysiaGazette