KUALA LUMPUR – Kes kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang didakwa menjadi mangsa buli wajib disiasat segera secara telus dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat pihak yang didapati bertanggungjawab.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq.
“Pagi ini amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah, yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Wajib disiasat segera, telus dan ambil tindakan tegas!” katanya menerusi hantran ringkas di Facebook.
Asyraf Wajdi menegaskan, siasatan menyeluruh penting bagi memastikan perkara sebenar di sebalik kematian pelajar berkenaan dapat diketahui serta sebarang dakwaan berkaitan buli diteliti sewajarnya.
Terdahulu media melaporkan, insiden yang berlaku terhadap Muhammad Idlan Fareeq yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia.
Sebelum itu, tular di media sosial, seorang pelajar Tingkatan Dua SMK Za’ba, Kuala Pilah, dilaporkan meninggal dunia semalam dengan ahli keluarganya mendakwa mangsa dipukul ketika berada di asrama sekolah.
Perkara itu dikongsikan seorang wanita yang mendakwa ibu saudara mangsa menerusi beberapa hantaran di Threads sejak malam tadi.
Menurut wanita berkenaan, dia dimaklumkan mengenai kematian anak saudaranya selepas menerima panggilan daripada adiknya yang juga ibu mangsa.
Dalam hantaran susulan, wanita itu mendakwa jenazah mangsa pada awalnya berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Seremban untuk bedah siasat.
Kes berkenaan telah mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan dan kebajikan pelajar serta keperluan memastikan institusi pendidikan menjadi persekitaran yang selamat.
Pihak berkaitan turut digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi memberikan keadilan kepada keluarga Allahyarham serta memastikan perkara sama tidak berulang. – MalaysiaGazette
















