Setiausaha Penghulu Jempol merangkap Ibu Soko Luak Jempol, Mazariah Mansol bercakap ketika ditemubual berkaitan krisis istana di Masjid Jamek Pekan Bahau, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026

BAHAU – Suara mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus bergema apabila pelbagai pihak menyeru agar krisis perlembagaan negeri itu diselesaikan berlandaskan adat, kedaulatan serta kedudukan institusi diraja.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sentimen itu disuarakan masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang menegaskan kesetiaan kepada Tuanku, selain menggesa semua pihak memahami struktur dan perjalanan Adat Perpatih bagi mengelakkan konflik berulang.

Setiausaha Penghulu Jempol merangkap Ibu Soko Luak Jempol, Mazariah Mansol menegaskan, pendiriannya tidak pernah goyah dalam mempertahankan kesetiaan kepada institusi diraja dan amanah adat.

“Kami tidak pernah goyah, tidak mudah dipengaruhi. Setia tetap dijunjung, amanah adat tetap dipelihara,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Muhamad Kamil Yaasin bercakap ketika ditemubual berkaitan krisis istana di Masjid Jamek Pekan Bahau, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Muhamad Kamil Yaasin berkata, kemelut yang berlaku perlu diselesaikan dengan cara baik, namun tidak boleh berlarutan sehingga menjejaskan kemajuan negeri.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan mahu melihat keadaan kembali stabil dan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.

“Negeri Sembilan sebenarnya sudah bersama dalam kawasan Lembah Klang. Kemajuan itu orang nak tengok dan rakyat tidak sabar (nak rasai).

“Saya sudah tua, tetapi saya fikir anak-anak cucu saya yang akan menikmati apabila kerajaan selesa, tenang dan maju,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu menghormati kedudukan institusi serta adat yang menjadi asas masyarakat Negeri Sembilan.

“Setiap orang ada peranan masing-masing. Kita perlu faham raja pada tempatnya dan kita sendiri raja pada tempatnya.

“Kita kena hormat adat. Kalau kita tidak hormat adat, inilah jadinya. Main langgar sahaja,” katanya.

Muhamad Kamil yang mendakwa dirinya mempunyai susur galur berkaitan Datuk Siamang Gagap berkata, sejarah perjuangan mempertahankan Tuanku Antah juga menjadi antara rujukan penting dalam memahami kedudukan adat dan institusi diraja Negeri Sembilan.

“Manuskrip berkaitan sejarah berkenaan yang telah berusia lebih 140 tahun kini sedang disusun semula untuk didedahkan kepada masyarakat,” katanya.

Timbalan Setiausaha Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Ramlan Rose bercakap ketika ditemubual berkaitan krisis istana di Masjid Jamek Pekan Bahau, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Profans, Ramlan Rose, menyifatkan tindakan pihak tertentu yang cuba menurunkan Tuanku sebagai sesuatu yang amat dikesali.

“Saya amat rasa dukacita dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk menurunkan Tuanku Muhriz.

“Ini bukan khianat lagi, ini terang-terang penderhakaan,” katanya.

Ramlan menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya bersama-sama mempertahankan serta memartabatkan Tuanku di atas takhta.

“Kita tidak mahu ada kacau-bilau yang dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dan ingin menurunkan Tuanku secara khianat dan derhaka,” katanya.

Setiausaha Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Ruzaili Abdul Karim bercakap ketika ditemubual berkaitan krisis istana di Masjid Jamek Pekan Bahau, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026

Setiausaha Profans, Ruzaili Abdul Karim pula berpandangan kefahaman mengenai Adat Perpatih perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan.

Katanya, pemahaman lebih jelas mengenai struktur, perjalanan serta kedudukan adat dalam masyarakat dapat membantu mengelakkan berulangnya konflik seumpama yang sedang berlaku.

“Kalau semua faham struktur adat itu bagaimana dan perjalanan serta kedudukan adat itu sendiri dalam masyarakat, saya percaya krisis ini tidak akan berlaku.

“Salah satu cara untuk mencari penyesuaian ialah memberi kefahaman kepada seluruh anak Negeri Sembilan mengenai apa itu adat dan bagaimana perjalanan adat,” katanya.

Menurut Ruzaili, usaha menyusun dan menerbitkan manuskrip berkaitan adat dan sejarah Negeri Sembilan juga boleh dijadikan medium pendidikan kepada masyarakat.

“Pendedahan itu boleh disusuli dengan bengkel secara menyeluruh supaya kefahaman mengenai adat dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian kekusutan yang berlaku berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai adat, selain penafsiran terhadap kuasa yang tidak berlandaskan tujuan asal.

“Banyak kesusutan ini berlaku disebabkan tidak faham dengan adat. Kita tidak faham adat.

“Kuasa itu sebagai alat, bukan sekadar kuasa untuk mendapatkan kekayaan. Itu isu fokus,” katanya.

Ruzaili turut mengingatkan masyarakat supaya kembali menghayati nilai agama dan memperkukuhkan keimanan sebagai sebahagian daripada usaha mengembalikan keharmonian.

“Kalau balik kepada adat, bersandarkan adat, kita akan berusaha sedikit untuk memperbaiki keadaan itu.

“Yang paling penting, sebagai orang Islam, keimanan itu kena dimantapkan. Apabila kembali kepada keadaan asal, Insya-Allah semua ini tidak akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here