Mohamad Hasan

JASIN – Tiada sebarang keperluan bagi Wisma Putra menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengesan rakyat Malaysia yang dilaporkan ‘hilang’ di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana rakyat negara ini yang memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada kedutaan Malaysia di luar negara.

“Kita tak (perlu) tubuhkan jawatankuasa (khas) kerana kita sudah ada setiap kedutaan atau Pesuruhjaya Tinggi di banyak negara dan kita ada 111 misions (cawangan) semuanya di seluruh negara.

“Ada juga di negara-negara yang kita tak ada (cawangan) tapi ia diurus oleh ambassador atau Pesuruhjaya Tinggi daripada kawasan di luar jadi tiada keperluan untuk kita tubuhkan jawatankuasa (kerana) dia (rakyat hilang) tak ramai pun,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Media sebelum ini melaporkan seorang ibu berusia 77 tahun dari Kulai, Johor memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk mengesan anak sulungnya selepas dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu tanpa khabar berita.

Lelaki itu menamatkan pengajian di University of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 1985 hingga 1989 dan pernah dua kali pulang ke kampung halaman sebelum akhirnya hilang tanpa jejak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jika berlakunya situasi rakyat Malaysia hilang di luar negara, keluarga mereka boleh berhubung terus dengan Wisma Putra untuk sebarang bantuan.

“Kami akan uruskan supaya kita dapat mengarahkan atau pun minta kedutaan kita untuk membantu…(tapi) kadang-kadang mereka ini sendiri yang tak mahu dikesan dan tak mahu orang tahu di mana mereka berada jadi, itu susah sikitlah.

“Tapi jika pihak keluarga tahu di mana alamat terkini atau terakhir, kita boleh uruskan dan minta pertolongan daripada Kementerian Luar negara tersebut dan selalunya bantuan kita dapat dibalas dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette