Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

SETIU- Seorang wanita rugi RM148,200 akibat terpedaya dengan penipuan cinta (love scam) setelah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman Facebook.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superinteden  Mohd Zain Mat Idris, mangsa berusia 51 tahun itu telah berkenalan dengan lelaki yang bernama Azli Ahmad itu sejak Jun lalu.

“Lelaki yang mengaku dirinya seorang juruterbang itu telah menawarkan mangsa bungkusan hadiah seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD 10,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim sebagai tanda persahabatan mereka.

“Bagaimanapun, suspek kemudiannya telah meminta wanita itu membayar duti import dan kos penghantaran untuk semua bungkusan itu.

“Mangsa telah membuat transaksi bayaran sebanyak 23 kali transaksi kepada akaun berlainan bermula 14 hingga 22 Jun yang lepas,” katanya.

Selain itu, wanita itu juga telah diugut untuk membuat bayaran kerana suspek mendakwa dia  telah terlibat dengan pelbagai jenayah lain.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya orang hingga menyebabkan kerugian.

“Sehubungan dengan itu, kami juga ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada apabila berkenalan dengan mana-mana individu dalam talian untuk mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan,” tambahnya. – MalaysiaGazette