Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR –  Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa kerajaan menggunakan taktik kotor termasuk menyebarkan berita palsu melalui media apabila mangatakan Pas mungkin akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu turut mendakwa, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sedang mengadakan perbincangan dan mengarahkan media agar percaya mengenai perkara itu.

Dakwanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan demi kemakmuran negara, tetapi semata-mata untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK).

“Sebagai Menteri Komunikasi dan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi berjanji untuk memerangi berita palsu, namun dia sendiri menggunakan media untuk mencapai matlamat politiknya.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap kali ini, dia mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan bertujuan untuk mengaburkan pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dominic lagi, ia merupakan fitnah melampau sehingga Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man turut tampil menafikan dakwaan itu bagi menunjukkan Fahmi seorang yang tiada integriti.

“Bagaimana seorang menteri yang bermasalah integriti dapat diharapkan menyampaikan maklumat yang betul kepada rakyat?

“Selain gagal memulihkan ekonomi negara, banyak janji yang tidak ditepati dan kini menggunakan taktik kotor seperti untuk meraih undi,” ujarnya.

Dalam pada itu Dominic menegaskan, PN adalah satu-satunya gabungan politik yang boleh dipercayai oleh rakyat dan merupakan harapan negara.

Beliau turut menggesa pengundi Sungai Bakap menolak calon PH sebagai hukuman tegas Kerajaan dipimpin oleh PH-BN.

“PN sentiasa berjuang dan mengekalkan imej politik yang lebih baik, iaitu bersih, stabil dan berintegriti, untuk mewujudkan Malaysia yang makmur dan maju untuk semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here