Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat yang bermula hari ini dimulakan dengan bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, mendiang adalah seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasikan institusi Parlimen dan amat prihatin akan kebajikan rakyat.

“Kita turut kehilangan seorang lagi tokoh politik iaitu Tan Sri Joseph Kurup telah meninggal dunia pada Rabu, 17 April 2024.

“Mendiang merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pensiangan dan pernah menjadi Anggota Pentadbiran Persekutuan di beberapa kementerian,” katanya ketika memulakan sesi pagi Dewan Rakyat hari ini.

Mutang meninggal dunia pada 10 Mei lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Senator itu dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 dan telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Mutang menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.

Beliau adalah merupakan Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak, berkhidmat pada tahun 1982 hingga 1990.

Tan Sri Joseph Kurup pula meninggal dunia pada 17 April lalu pada usia 79 tahun.

Dalam pada itu, Johari turut memberitahu, taqwim sidang akan datang ditukarkan tarikhnya.

Ia setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat diubah kepada suatu tarikh baharu.

“Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat diubah kepada suatu tarikh baharu iaitu mulai 14 Oktober hingga 12 Disember selama 35 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette