Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Kes mengenai penularan gambar keadaan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika proses bedah siasat diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan pihak yang menularkan bahan bukti itu di media sosial Telegram itu akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Laporan polis berkaitan bahan bukti (gambar bedah siasat) diviralkan, dan siasatan itu diambil alih oleh USJT Bukit Aman.

“Ia akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi. Kes ini telah diambil alih Bukit Aman pada dua hari lepas, iaitu 30 Jun lalu dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.

Pada 30 Jun lalu, media melaporkan, bahan bukti bedah siasat dipercayai mayat kanak-kanak autisme itu tular di media sosial menerusi aplikasi Telegram, pada malam Sabtu lalu.

Gambar itu antara lain memaparkan keadaan mangsa selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Sebelum ini, ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya ditahan pada 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast