Akmal Nasrullah.

NIBONG TEBAL – Kerajaan Perpaduan akan melunaskan tanggungjawab dalam mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Sungai Bakap meskipun calon dari Pakatan Harapan (PH) tidak diangkat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah tersebut sekali gus membuktikan Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab dalam membantu rakyat.

“Bagi saya menang atau kalah (PRK Sungai Bakap) komitmen kita untuk bantu (penduduk) Sungai Bakap akan diteruskan.

“Kalau tak pilih calon kita jadi wakil rakyat pun saya bagi jaminan dekat orang Sungai Bakap, saya (akan) turun bantu.Jangan risau, saya tak ugut (apatah lagi) sudah dapat kelulusan dasar (berhubung langkah-langkah mengatasi isu air Sungai Bakap).

“Cuma jika (pengundi Sungai Bakap) pilih wakil (kita) akan lebih (senang) untuk memahami keadaan (semasa) yang wakil kita boleh bantu (dari segi) memastikan pelan mitigasi (yang dirancang) mengikut masa ditetapkan dan dapat turun dengan saya untuk pastikan projek berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kechil, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Akmal Nasrullah mengakui wujud cabaran dalam memastikan air ada di rumah penduduk atas beberapa faktor.

“Di sini (Sungai Bakap) kita akui ada cabaran nak pastikan air sampai kerana air ini bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan bila nak  datang ke kawasan Seberang Perai Selatan jaraknya lebih 50 kilometer.

“Selepas itu, air bukan boleh terus sampai lagi ke sini (Sungai Bakap) dan dia (air) kena singgah masuk kawasan lain dulu antaranya kawasan industri.

“Ketika lawatan saya ke Pulau Pinang pada awal bulan satu (Januari lalu) ketika itu kerja-kerja penukaran injap yang menyebabkan bekalan air negeri ini terjejas sementara, Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) telah menerangkan cabaran yang dihadapi. Pulau Pinang ada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), ada juga langkah mitigasi sedang dibuat dan kini menunggu hasrat Projek Air Perak Pulau Pinang direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette