KUALA LUMPUR – National Training Weeks (NTW) 2024 yang bermula 24 Jun di Stadium bukit Jalil, di sini, akan melabuhkan tirainya pada 30 Jun ini.

Bagi mengakhiri minggu bertema ‘Menginspirasikan Tenaga Kerja Malaysia Menerusi Pembelajaran Sepanjang hayat’ pelbagai aktiviti pembelajaran ditawarkan sepanjang dua hari terakhir menerusi Majlis Kemuncak dan Perayaan Pembelajaran NTW 2024.

Ia akan menyediakan peluang unik untuk anda menyertai pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk pembangunan peribadi yang berterusan.

Antara aktiviti yang ditawarkan itu ialah Pancasains dari Petrosains, EV Experience oleh Proton, Klinik Sukan, Pertandingan Lego, Pameran Buku dari Bookxcess dan Pameran Kerjaya.

Pancasains dari Petrosains membabitkan penglibatkan diri dan sekeluarga dalam pengalaman sains dan teknologi yang menarik dan interaktif manakala EV Experience pula memberi pengalaman menjelajahi teknologi kenderaan elektrik dalam industri automotif Malaysia.

Selain itu, Klinik Sukan ditawarkan bagi mendapatkan nasihat daripada pakar sukan dalam usaha meningkatkan kecergasan dan kesihatan anda manakala Pertandingan Lego diadakan bagi membolehkan peserta menunjukkan bakat dan kreativiti dalam membina dan mencipta Lego yang ikonik.

Pameran Buku dari Bookxcess turut diadakan bagi membolehkan pengunjung menerokai dunia ilmu pengetahuan dan sastera melalui koleksi buku yang pelbagai manakala Pameran Robotik mampu mengetengahkan kemahiran masa hadapan dengan teknologi inovatif robotik yang menarik.

Acara penutup NTW 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Jun 2024.

NTW 2024 merupakan minggu latihan percuma untuk rakyat Malaysia ini berlangsung serentak di seluruh negara.

Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp ini menawarkan lebih 60,000 kursus latihan percuma dan menyasarkan 200,000 penyertaan.

Selain kursus latihan, HRD Corp bersama rakan kolaborasi juga mengadakan lebih 700 aktiviti pembelajaran di seluruh negara.

Untuk menyertai kelas latihan rakyat Malaysia boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mendaftar. – MalaysiaGazette