Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbahas pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong apa juga usaha untuk memastikan kekejaman terhadap penduduk Palestin di Gaza ditamatkan, termasuklah melalui penyelesaian dua negara.

Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang mustahak buat masa ini adalah memastikan Israel menghentikan pembunuhan secara berterusan terhadap penduduk di sana.

Sehubungan itu katanya, Malaysia menyokong resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan gencatan senjata di Gaza.

“Alhamdulillah baru-baru ini, pada Jun satu cadangan gencatan senjata yang diusul Amerika telah diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan undi (14 menyokong, satu berkecuali). Kita amat gembira sebab selalunya bila Amerika buat usul, yang lain tidak menyokong.

“Kita nak lihat apa cara untuk kita pastikan kekejaman, pembunuhan dihentikan, (kita suarakan ini) di atas apa juga platform, kita akan terus menyokong apa juga usaha termasuk melalui penyelesaian dua negara,” katanya Ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Resolusi yang digubal baru-baru ini mempunyai tiga fasa yang akan berakhir dengan rancangan pembinaan semula Gaza dalam jangka masa panjang berikutan kemusnahan akibat pertempuran.

Fasa pertama termasuk gencatan senjata penuh dan lengkap yang berlangsung selama enam minggu, dengan tentera Israel berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza.

Tentera Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza di bawah fasa kedua rancangan itu, yang berlangsung sekitar enam minggu lagi.

Manakala bagi fasa ketiga, pelan pembinaan semula dan penstabilan utama untuk Gaza akan bermula, disokong oleh AS dan masyarakat antarabangsa.

Tambah Mohamad, AS perlu memastikan usul yang telah diluluskan baru-baru ini akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut beliau berkata tindakan selanjutnya termasuklah pilihan raya di Palestin, ia merupakan perkara yang boleh ditentukan selepas pembunuhan kejam dihentikan.

“Memang benar hak rakyat Pasletin perlu kita dengar apa yang penting sekarang adalah pembunuhan dihentikan dahulu, kalau ada satu pihak membunuh, membedil (ini tidak akan selesai).

“Soal rakyat Palestin buat pilihan raya.. Yang penting pembunuhan dihentikan kerana sekarangb ini setiap hari orang dibunuh. AS mesti bertnggungjawab penuh. Selepas itu nak buat pilihan raya terpulang selepas it, (untuk) kita iktiraf pihak mana yang akan mengurus negara Palestin yang merdeka (itu) selepas itu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here