Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)  menurunkan 838 kandungan berunsurkan pelacuran dalam talian sepanjang enam bulan tahun ini.

Dalam masa yang sama, sebanyak 308 kandungan lucah turut diturunkan oleh suruhanjaya berkenaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurut beliau, bagi tempoh yang sama SKMM turut menyekat 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran.

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan SKMM melibatkan kandungan lucah. Tindakan ini akan diteruskan oleh SKMM dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan langkah bagi membanteras budaya dark side dalam negara.

Terdahulu, Nie Ching berkata, kegiatan pelacuran sama ada dalam atau luar talian adalah di bawah tindakan dan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas beliau, peruntukan sedia ada seperti Kanun Keseksaan [Akta 574] terpakai dalam melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan perundangan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Katanya lagi, SKMM dalam hal ini berperanan memberikan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti penurunan kandungan media sosial dan juga sekatan laman sesawang serta pembekalan maklumat dan analisis forensik digital untuk mempercepatkan proses siasatan.

“Selain itu, SKMM melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588] sekiranya kandungan yang dimuatnaik adalah bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya,” ujarnya.

Dalam pada itu,katanya lagi, sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial akan diadakan pada Julai ini bagi
bagi mengukuhkan komitmen dan kerjasama dalam usaha memantau dan mengawa kandungan memudaratkan dalam talian di pelbagai platform media sosial.- MalaysiaGazette