KUALA LUMPUR – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah bekerjasama dengan School of Business dari University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW) untuk SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge (SSSIC) 2024.

SSSIC 2024 bertujuan untuk menyokong inovasi syarikat pemula dan PMKS serta meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penerapan Alam Sekitar, Sosial, and Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS dengan menawarkan peserta peluang untuk membentangkan idea perniagaan baharu, inovasi produk, inovasi perkhidmatan, inovasi organisasi, inovasi pengurusan, atau inovasi model perniagaan, yang menerajui konsep perniagaan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Cabaran ini terbuka untuk syarikat pemula, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pelajar institute pengajian tinggi dalam mengemukakan idea perniagaan inovatif yang memberi impak besar kepada alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Peserta berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM110,000 dan mewakili Malaysia di Swiss Innovation Challenge 2024 International Pitch pada bulan Oktober 2024.

Program ini disokong oleh institusi seperti Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Putra Business School, dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, SSSIC 2024 akan menawarkan pengetahuan praktikal dan peningkatan kemahiran melalui jurulatih dan usahawan yang berpengalaman.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata, SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge menyediakan platform untuk mempromosikan inovasi dalam kalangan PMKS dan membolehkan usahawan dan inovator menunjukkan kreativiti mereka serta memberi penyelesaian inovatif yang lestari kepada cabaran ketika ini, sambil mencipta peluang untuk jalinan antarabangsa dan potensi pembiayaan.

“Kerjasama kami dengan FHNW direka untuk memupuk syarikat pemula dan penubuhan baharu untuk lebih cemerlang dalam sektor PMKS dengan memperkasa alat dan pengetahuan untuk memacu pembangunan yang lestari, memberi impak penting kepada komuniti dan membina jalinan kerjasama antarabangsa yang bakal menjadi aset berharga semasa mereka menavigasi landskap perniagaan yang dinamik.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengembangkan syarikat tempatan ke semua peringkat melalui ekosistem inovasi seperti yang disokong oleh kerangka Ekonomi Madani,” tambah beliau.

Prof. Dr. Arie Hans Verkuil, Ketua Institut Pengurusan di FHNW University of Applied Sciences, juga Presiden Juri SIC menambah, SIC telah lama disokong oleh kerajaan Switzerland untuk mencari idea perniagaan inovatif dari syarikat pemula dan PMKS.

Menurutnya, terdapat minat global yang semakin meningkat dalam inisiatif unik ini di luar rantau Eropah dan SME Bank di Malaysia yang merupakan tunjang utama pertumbuhan holistik PMKS melangkaui perkhidmatan kewangan, terutamanya dalam pelaksanaan ESG.

SSSIC 2024 kini menerima penyertaan dari 24 Jun hingga 26 Julai 2024. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here