Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail bercakap pada media berkenaan Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di UDM Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail tidak ambil kisah isu sijil ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian) yang dimilikinya dijadikan modal politik dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Jelas beliau, ini kerana penjelasan mengenai kesahihan mengenai sijil tersebut sudah dibuat sebelum ini.

“Itu (isu kesahihan sijil ISO) tak ada apa..semua orang tau (tahu) hal itu..tak ada masalah (penjelasan sudah dibuat).

“Kalau dia orang (pihak lawan) nak (mahu) buat modal pun saya tak kisah,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Duri di sini, malam tadi.

Semalam Abidin membuat penjelasan terbuka mengenai kesahihan sijil ISO yang dimilikinya.

Menurut Abidin Ismail, dia tidak menafikan ada sedikit kesilapan berhubung perkara itu semasa latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin Pas pada majlis pengumuman calon 15 Jun lalu.

“Sebenarnya sijil ISO bukan untuk individu, tetapi mana-mana syarikat atau badan-badan berkanun pun perlu ada ISO, piawaian pelanggan itu perlu ada ISO,” katanya.

Sementara itu, Abidin enggan mengulas ketika ditanya sama ada orang ramai telah salah tafsir tempoh perkhidmatan beliau di sebuah syarikat sebagai eksekutif logistik sehingga 2022 seperti dilampirkan dalam poster maklumat calon.

“Tengok poster tu..itu hak masing-masing (salah tafsir).. saya tak mau komen, ada kuasa Allah tentukan itu hak dia,” katanya.

Sebelum itu, timbul pertikaian berhubung tempoh perkhidmatan Abdin dalam sebuah syarikat logistik yang dimaklumkan pada poster maklumat kerjaya calon.

Ia susulan ramai mendakwa syarikat tersebut telah menutup operasi pada 2020 namun dalam poster calon memaparkan dia berkhidmat sehingga 2022. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here