Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini bertikam lidah mengenai penyasaran subsidi diesel yang dilakukan KerajaanPerpaduan, sejak 10 Jun lalu.

Ketika Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membuat penerangan mengenai penyasaran subsidi diesel, Datuk Radji Jidin (PN-Putrajaya) bangun mempersoalkan tindakan kerajaan dengan menaikkan harga diesel pada harga RM3.35 seliter.

“Kerajaan hari ini tidak mendengar apa yang rakyat sebut di bawah, ini kerajaan ‘lembu kenyang’.

“Mereka hanya syok sendiri cuma apakah yang mereka ingin sampaikan tetapi mereka tidak menyelami apakah yang sebenarnya dilalui oleh rakyat,” katanya ketika mencelah sesi penerangan tersebut.

Sim Tze Tzin (Ph-Bayan Baru) kemudian bingkas bangun dan mempersoalkan kenyataan Radzi.

Jelas Tze Tzin, Radzi cuba mengelirukan Dewan Rakyat dan mengarahkan agar kenyataan ‘lembu kenyang’ itu ditarik balik Radzi.

“Saya minta tarik balik kenyataan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.

Mendengar kata-kata itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta agar Radzi menerangkan kata-kata lembu kenyang tersebut.

“Putrajaya cuba ulang, lembu kenyang itu apa maksudnya,” kata Johari.

Radzi menjawab: “Lembu bila kenyang dia buat tidak tahu, orang kacau dia dia buat tidak dengar, rakyat di bawah sana bercakap tentang tekanan yang mereka hadapi tetapi kerajaan tidak bertindak.

“Apa tindakan kepada petani, yang bawa backhoe, bawa roro dan sebagainya. Itu maksud saya,” kata Radzi.

Tze Tzin kemudiannya mencelah dengan berkata, kerajaan kini memperuntukkan RM12 bilion setahun untuk pelaksanaan subsidi diesel.

“Subsidi diesel tidak mampan, kita tahu subsidi secara pukal akan membuatkan negara bankrap pada masa depan.

“Sesiapa yang jadi kerajaan akan berdepan dengan masalah ini, dan kita telah buktikan PM keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan pernah cakap bahawa subsidi ini tidak mampan dan perlu disasar semula, apa yang dibuat sekarang adalah sasar semula,” kata Tze Tzin.

Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) kemudian bangkit lalu berkata,  isu yang dibangkitkan oleh pembangkang bukan isu politik tapi lebih kepada isu ekonomi rakyat.

“Masalah ekonomi rakyat, poket rakyat, ini isu rakyat yang makin terhimpit,” katanya.

Sebelum ini, Amir Hamzah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan bermula pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula mekanisme harga automatik.

Beliau berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here