MARAN – Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun beliau berkata, BN dan PH masing-masing akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu.
“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang Barisan Nasional. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.
“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, di sini, hari ini.
Sementara itu Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, sejak parti berada dalam kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, belum ada lagi agenda Islam yang diketepikan.
“Saya yang bertanggungjawab nakhodai UMNO (dan) saya akan pastikan bahawa parti komponen dalam kerajan Perpaduan ini mengikuti semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita,” katanya.
“Kita mengalu-alukan semua, setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ini ada 11 Friends of BN di dalam sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada Friends of BN.
“Parti komponen empat saja, UMNO MCA, MIC dan PBRS sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti mesti konsensus, 100 peratus… jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.
Pemangku Presiden MyPPP Datuk Loga Bala Mohan dipetik berkata keputusan itu dibuat demi maruah parti selepas pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor. – Bernama