Pekerja menampal notis penutupan tapak pembinaan dan perbehentian kerja-kerja pembinaan projek ketika Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB (Selangor) di Setia Alam, Selangor . Foto SYADILA AMARI, 25 JUN 2024.

SHAH ALAM – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengeluarkan notis larangan memula dan meneruskan kerja-kerja pembinaan ke atas tapak projek dua blok kompleks komersial di Setia Alam, di sini, hari ini.

Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi berkata, ini kerana kontraktor utama dan kontraktor sub projek tersebut melanggar Seksyen 34 B (1)(b) Akta CIDB 1994 (Pindaan) 2011.

“Kita menyemak sebanyak 17 syarikat kontraktor utama dan kontraktor sub, hasil pemeriksaan mendapati satu kontraktor sub tidak berdaftar dengan CIDB.

“Kita juga semak bahan binaan yang digunakan, dari 40 bahan binaan yang disemak hanya tiga item sahaja tidak menepati dan memperoleh Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada CIDB.

“Kita akan menutup tapak binaan ini disebabkan kepada ketidakpatuhan akreditasi pekerja binaan dan kontraktor yang tidak berdaftar itu hendaklah mendaftar syarikat mereka.

“Projek ini boleh dibuka sekiranya semua ketidakpatuhan itu dipatuhi,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu Heryanti mengetuai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB Selangor bersama lima agensi kerajaan lain.

Antaranya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam pada itu, Heryanti juga berkata, mengingatkan kontraktor utama dan kontraktor sub agar mengambil iktibar daripada tindakan tegas dalam operasi penguatkuasaan ini.

“Mereka kena sentiasa peka syarikat masing-masing bila tarikh tamat, adakah pekerja-pekerja yang diambil itu pekerja yang kompeten dan berdaftar dengan CIDB.

“Setiap kontraktor utama dan kontraktor sub ambil tahu dan kisah kepada pendaftaran kad hijau sentiasa diperbaharui.

“CIDB Selangor sentiasa mengharapkan semua projek pembinaan dijalankan mengikut Akta 520 dan Peraturan-Peraturan yang berkenaan terutamanya di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here