Onn Hafiz Ghazi

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan mendakwa baginda terbabit dalam tuduhan rasuah berjumlah RM20 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri melihat perkara ini adalah cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi raja dan merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

“Kerajaan negeri memandang serius terhadap perkara ini yang membabitkan institusi raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri serta negara.

“Kerajaan negeri telah membuat laporan polis berkaitan perkara ini dan menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit menyebarkan hasutan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai tular di aplikasi Whatsapp dan media sosial satu kenyataan berbentuk fitnah yang dilemparkan terhadap Tunku Mahkota Ismail kononnya  terbabit dalam tuduhan rasuah melibatkan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohamad Zamri Zainul Abidin berjumlah RM20 juta.

Beliau berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here