Najib Razak

KUALA LUMPUR- “Berita sangat sedih pagi ini,” itu coretan di laman Facebook rasmi Datuk Seri Najib Razak susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk melakukan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung hukuman tahanan di rumah.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak itu turut berkongsi alasan yang diberi Hakim Datuk Amarjeet Singh ketika membuat keputusan menolak permohonan tersebut.

“Mahkamah telah tolak permohonan Najib untuk kerajaan dedahkan titah adendum YDPA untuk memberi tahanan di rumah kepada Najib.

“Hakim kata tiada bukti bahawa titah adendum itu wujud sebab afidavit TPM (Datuk Seri) Zahid Hamidi, afidavt MB Pahang (Datuk Seri) Wan Rosdy dan ucapan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya sekadar “khabar angin” (hearsay) biarpun kerajaan, Pejabat Peguam Negara dan Istana Pahang tidak pernah nafi bahawa titah itu wujud,” tulis pengendali Facebook itu.

Hantaran tersebut mendapat reaksi warga net dan penyokong Najib yang rata-rata menzahirkan rasa kesal, kecewa dan sedih berikutan keputusan tersebut.

“Amat sedih dgn keputusan mahkamah pagi ini. DSNR tidak dapat keadilan yg sewajarnya. Segala usaha DSNR untuk mendapat keadilan di nafikan oleh pihak mahkamah mcm ada tangan ghaib yang mengganggu proses kehakiman,” kata pemilik akaun FB Yusof Jaya Abdullah.

Setakat dua jam hantaran itu dimuat naik, ia mendapat lebih 7,500 likes, 1,300 komen dan 264 perkongsian.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melalui hakim bicara, Amarjeet Singh menolak permohonan Najib mencabar kewujudan titah addendum selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya sekadar ‘dengar cakap’ dan khabar angin sahaja.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Mahkamah tolak permohonan Najib cabar kewujudan titah Adendum

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast