Situasi terkini di hadapan perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kepulangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum dapat dipastikan setakat 7 malam ini di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, suasana di luar kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang menjadi tumpuan lebih 50 petugas wakil media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul seawal 10 pagi bagi memantau perkembangan terbaharu.

Bagaimanapun sehingga kini status kepulangan Najib ke kediaman berkenaan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang masih menanti di lokasi untuk mendapatkan pengesahan rasmi.

Pada masa sama, sekumpulan penyokong Najib turut kelihatan berkumpul di luar kediaman berkenaan bagi melahirkan rasa solidariti terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan ataua mesra disapa Bossku itu.

Situasi terkini di hadapan perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2026.

Sementara itu pembantu khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilihat tiba di kediaman itu sekitar 4.35 petang namun enggan memberikan komen ketika ditanya mengenai status pemimpin terbabit bila akan pulang.

“Maaf, saya tidak boleh memberikan sebarang respons,” katanya ringkas pada pemberita.

Dalam pada itu, menurut anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar Najib yang ditemui MalaysiaGazette pun enggan mengulas mengenai status bapanya dan mengesahkan ahli keluarga tidak akan hadir ke kediaman terbabit hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.

Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here