Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendirian tiada siapa mengatasi undang-undang susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH berkata, pihaknya berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kepada Lembaga Pengampunan.

Majlis Presiden PH turut menegaskan, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati tanpa mengira kedudukan atau status seseorang.

“Dan sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, PH memberi komitmen untuk meneruskan agenda reformasi serta usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Majlis Presiden berazam akan meneruskan usaha membenteras rasuah, mengangkat agenda reformasi dan membersihkan negara dari unsur-unsur rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan hari ini susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.

Dalam keputusan berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.

Sekiranya syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Terdahulu, Majlis Presiden PH bermesyuarat hari ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat kira- kira dua jam itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkembangan isu politik membabitkan Najib. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mesyuarat Majlis Presiden PH jadi tumpuan

Mesyuarat Majlis Presiden PH jadi tumpuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here