PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dis ini hari ini selesai selepas hampir dua jam malam ini.
Para wakil media di perkarangan Bangunan Perdana Putra mendapati beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mula keluar sejak pukul 7 malam.
Bagaimanapun, usaha untuk mengenal pasti identiti pemimpin PH yang menaiki kenderaan terbabit tidak berhasil.
Mesyuarat berkenaan dipercayai dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Mesyuarat tersebut dipercayai bagi membincangkan perkembangan politik mutakhir.
Sebelum ini, antara perkara yang dijangka disentuh ialah kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu lalu.
Ahmad Zahid dalam ucapannya mencabar mana-mana pihak yang mahu parti itu menamatkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Kemudian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Isnin lalu dilaporkan mencadangkan kepada Anwar supaya mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH dengan segera bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
Anthony berkata, mesyuarat itu wajar diadakan sebaik Anwar pulang daripada lawatan rasminya ke luar negara bagi meneliti perkembangan dan beberapa kenyataan politik yang dibuat kebelakangan ini yang disifatkan tidak baik daripada segi kepastian dan kestabilan politik negara.
Selain perkembangan itu, hari ini Lembaga Pengampunan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dan denda RM50 juta.
Susulan itu, DAP dijangka mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat esok dengan sumber parti mendakwa pertemuan itu akan membincangkan kedudukan parti dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















