ALOR GAJAH – Rakyat yang menyayangi Datuk Seri Najib Razak diseru supaya membantu mengumpulkan dana bagi melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha mengumpulkan dana itu boleh dilakukan menerusi pelbagai cara sebagai tanda keprihatinan terhadap Najib.
“Itu (kutipan sumbangan) terserah pada keprihatinan masing-masing. Saya juga menyerulah pada semua yang sayang Datuk Najib, bolehlah pelbagai cara mengumpulkan dana untuk membantu pembayaran denda tersebut,” katanya.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata demikian ketika ditemui selepas program Hari Exco Bertemu Rakyat yang menjadi penutup program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat negeri Melaka di DUN Tanjung Bidara hari ini.
ADUN Tanjung Bidara berkata demikian ketika diminta mengulas selepas UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kutipan berkenaan terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.
Menurut Ahmad Zahid, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus dan teratur selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Sekiranya syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan tersebut terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara. – MalaysiaGazette
















