KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar akan melancarkan Tabung Solidariti Untuk Datuk Seri Najib Razak esok sebagai usaha membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan di bawah pengampunan bersyarat.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tabung berkenaan akan dilancarkan di Pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar pada Sabtu.
Beliau berkata, ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda berkenaan.
“Saya menggesa seluruh penyokong, pendokong dan ahli UMNO yang prihatin dengan keadaan Datuk Seri Najib supaya tampil memberikan sumbangan ikhlas bagi membantu meringankan beban beliau dan keluarganya.
“Tabung Solidariti Untuk Datuk Seri Najib akan dilancarkan di Pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang dipengerusikan Baginda di Istana Negara, hari ini.
Jamal turut berkata, setiap sumbangan yang diterima akan menjadi sebahagian daripada usaha pihaknya membantu Najib memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan menerusi pengampunan bersyarat tersebut.
“Walaupun sedikit, namun ia amat bermakna bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Najib dan keluarga. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun UMNO Bahagian Sungai Besar, Maybank 5121 2961 1350.
Sebelum itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan, pengampunan bersyarat itu boleh terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. – MalaysiaGazette
















