Mohd Yahya Mat Sahri

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak seharusnya menumpukan tindakan terhadap pelarian Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaliknya perlu membongkar rangkaian sindiket, majikan serta pihak tempatan yang mengaut keuntungan daripada kemasukan dan pekerjaan warga asing secara tidak sah.

Pengarah Strategi PKR Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pendekatan terhadap isu pelarian dan migrasi perlu melihat keseluruhan rantaian kegiatan berkenaan termasuk pihak yang menjadi dalang dan mengambil keuntungan.

Penguatkuasaan yang hanya menyasarkan individu di hujung rantaian tidak memadai untuk menyelesaikan isu yang semakin kompleks dan mempunyai implikasi terhadap kedaulatan negara, keselamatan, ekonomi serta kemanusiaan.

“Jangan hanya kejar orang di hujung rantaian. Bongkar juga sindiket, majikan dan pihak tempatan yang mendapat keuntungan daripada kemasukan serta pekerjaan warga asing secara tidak sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Yahya berkata, isu pelarian Rohingya dan PATI tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah sementara, sebaliknya memerlukan dasar yang jelas, tersusun dan berterusan.

Beliau berkata, data UNHCR pada akhir Februari 2026 merekodkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk 193,824 warga Myanmar, dengan 126,144 darinya merupakan Rohingya.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan istilah perlu tepat kerana pelarian tidak boleh disamakan secara automatik dengan PATI atau penjenayah.

“Pada masa sama, status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia. Pendirian kita jelas. Yang masuk secara haram, cegah. Yang melanggar undang-undang, ambil tindakan. Yang melakukan jenayah, dakwa.

“Yang mengeksploitasi pelarian, termasuk sindiket dan pihak tempatan, juga mesti dikenakan tindakan,” katanya.

Yahya juga berkata, keresahan rakyat berhubung peluang pekerjaan, perniagaan tidak formal, petempatan tidak terkawal dan aspek keselamatan juga perlu ditangani secara serius oleh kerajaan.

Menurutnya, ketegasan dalam mengawal sempadan dan penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan tanpa menjadikan isu Rohingya sebagai sentimen perkauman.

Dalam pada itu, beliau menyokong pengukuhan kawalan sempadan, pendaftaran biometrik serta pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod identiti, status dan latar belakang keselamatan yang lebih teratur.

“Malaysia boleh tegas tanpa membenci. Kita boleh menjaga rakyat tanpa mengabaikan kemanusiaan. Kita juga boleh membantu pelarian tanpa mengorbankan kedaulatan negara,” katanya.

Mengulas rancangan pemulangan 1,476 warga Myanmar pada 29 September ini, beliau berkata, proses berkenaan perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip sukarela, maklumat mencukupi, pengesahan identiti serta jaminan keselamatan dan maruah individu terbabit.

“Sebarang proses pemulangan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa sehingga mengabaikan keadaan dan latar belakang mereka yang terbabit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh menanggung krisis Myanmar tanpa penghujung dan memerlukan penglibatan lebih besar ASEAN serta masyarakat antarabangsa.

Katanya, tanggungjawab itu termasuk usaha penempatan semula ke negara ketiga dan penyelesaian lebih menyeluruh terhadap krisis Myanmar.

“Myanmar perlu memainkan peranan utama menyelesaikan punca krisis, manakala ASEAN dan masyarakat antarabangsa perlu berkongsi tanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia akhirnya memerlukan satu dasar pelarian dan migrasi yang jelas, tersusun, tegas serta berperikemanusiaan.

“Tegas terhadap pelanggaran undang-undang, adil terhadap manusia, keras terhadap sindiket dan diplomatik dalam mencari penyelesaian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here