Gambar hiasan.

DALAM era ekonomi global yang semakin tidak menentu, persediaan perancangan kewangan yang baik menjadi keperluan mendesak, terutama bagi golongan berpendapatan rendah. Februari lalu media melaporkan Ringgit Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu mencecah paras RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD). Ia sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran masyarakat secara tidak langsung situasi itu memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

Peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat memerlukan strategi yang berkesan bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup tetapi juga untuk mengurangkan risiko kewangan. Antara langkah penting yang boleh diambil adalah dengan menyediakan tabung kecemasan dan mencari inisiatif baharu sebagai alternatif untuk menambah pendapatan.

Rata-rata menggunakan kaedah menabung sebagai ‘alat bantuan kecemasan’ di saat genting. Rakyat Malaysia beranggapan Tabung kecemasan adalah dana yang disediakan untuk menghadapi situasi kewangan yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, kecemasan perubatan, atau kerosakan besar pada harta benda. Namun terdapat juga antara mereka menetapkan tabungan itu bagi tujuan santai seperti melancong, membeli
barangan mewah dan sebagainya. Walau apa pun tujuan tabung digunakan, pastinya amalan menabung memberi kelebihan dan manfaat kepada si pemiliknya.

Amalan menabung untuk setiap tujuan adalah perlu. Ia berupaya mengurangkan tekanan kewangan ketika kita perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan yang besar seperti insurance kenderaan, permulaan sesi persekolahan, sambutan perayaan dan lain-lain. Pakar kewangan menyarankan untuk mempunyai simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan kos sara hidup. Ini memberikan masa yang mencukupi untuk mencari pekerjaan baharu atau menstabilkan keadaan kewangan dalam situasi kecemasan.

Langkah penting dalam usaha menabung dengan memulakan penetapan nilai kecil dan secara perlahan-lahan tingkatkan jumlah simpanan. Ini boleh dilakukan dengan menyisihkan sebahagian kecil dari pendapatan bulanan ke dalam tabung kecemasan.

Dalam usaha mendisiplinkan diri daripada unsur pengeluaran, simpan wang tabung kecemasan dalam akaun simpanan yang mudah diakses tetapi tidak digunakan untuk perbelanjaan harian. Akaun simpanan yang menawarkan faedah yang baik boleh membantu meningkatkan jumlah simpanan anda.

Dari aspek penjimatan perbelanjaan pula perlu dilihat kepada barangan yang bersifat keperluan dan bukannya kehendak. Pantau dan kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu serta mewujudkan bajet bulanan yang bersesuaian. Perlu diperhalusi setiap perancangan
perbelanjaan agar dipatuhi dan seterusnya memastikan lebih banyak wang boleh disimpan.

Selain daripada menyediakan tabung kecemasan, menambah pendapatan adalah merupakan langkah sewajarnya perlu dipertimbang dalam mendepani situasi mencabar dibebani kos sara hidup yang tinggi.

Evolusi telefon pintar sangat pantas dan kini hampir keseluruhan rutin kehidupan hanya boleh dilakukan melalui aplikasi di telefon pintar seperti memesan makanan, pembayaran, pengeluaran wang tunai, pembelian barangan dan lain-lain. Perkembangan teknologi itu juga menawarkan peluang besar kepada semua golongan khususnya golongan berpendapatan rendah untuk melakukan sesuatu yang boleh menjana pendapatan. Contoh mudah yang boleh dilihat ialah platform digital dan media sosial mempunyai potensi besar untuk individu membuat pemasaran produk atau perkhidmatan.

Bagi yang sukakan fleksibiliti dan juga kurang risiko, mereka boleh meneroka peluang dalam ekonomi gig seperti penghantaran makanan, pemanduan e-hailing, atau perkhidmatan lain yang menawarkan pendapatan tambahan berdasarkan masa dan tenaga yang dilaburkan.

Idea lain yang boleh dipertimbangkan seperti memulakan perniagaan kecil dari rumah seperti menjual makanan, pakaian, atau barangan kraf. Platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada boleh digunakan untuk menjual produk kepada pelanggan yang lebih luas.

Faktor lain yang turut berpotensi menyumbang kepada taraf ekonomi dimiliki dengan mengambil kursus jangka pendek dan juga mengambil kursus pensijilan yang diiktiraf khas. Nilai tambah yang dimiliki itu mampu membuka peluang peningkatan kerjaya samada di tempat kerja yang sama mahupun mendapat tawaran dari majikan baharu.

Dalam menghadapi krisis ekonomi global yang semakin meruncing, golongan berpendapatan rendah perlu bersikap proaktif dalam mengurus kewangan. Penyediaan tabung kecemasan dan mencari peluang baharu untuk menambah pendapatan adalah langkah penting yang boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan. Dengan perancangan yang teliti dan usaha yang gigih, setiap cabaran yang mendatang pastinya
dapat ditempuhi dengan mudah dan teratur.

Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu