KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan kes-kes dana sumbangan yang disalahguna sebelum ini apabila lari dari tujuan asal untuk kebajikan kini diakui telah menjejaskan kepercayaan masyarakat untuk memberi sumbangan.
Malah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terkena tempias dengan isu itu yang dikatakan menggunakan agama untuk beramal walaupun mereka mengadakan kempen sumbangan secara telus selama ini.
Bagi Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia (Ensany Malaysia), pihaknya menegaskan tidak pernah menunggang agama untuk mengutip sumbangan sejak beroperasi pada 2017.
Malah Ketua Pegawai Esekutifnya, Kamal Aljeffri Albukhari berkata, setiap wang sumbangan yang digunakan akan diudit oleh pihak audit dalaman dan luar yang dilantik NGO itu bagi memastikan perbelanjaan operasi yang telus.
Kata beliau, akaun Ensany Malaysia juga diaudit setiap tahun sejak beroperasi hingga tahun lalu selain perlu membentangkan setiap perbelanjaan sumbangan dan aktiviti kepada Lembaga Pengarah NGO itu yang terdiri daripada golongan akademik dan korporat.
“Kami tidak tunggang agama walaupun banyak aktiviti kami di Timur Tengah yang memerlukan orang cakap Arab dan tidak semua orang Arab itu muslim.
“Di Malaysia, kami juga telah mengadakan aktiviti kebajikan rumah anak yatim dan rumah orang tua bukan muslim untuk bantu semua lapisan Masyarakat.
“Kami tidak pernah cerita agama sangat dan hanya sekadar galakan menyelit berkaitan hadis untuk ajak orang memberi sumbangan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Ensany Global Peace & Makan Malam Amal, di sini, hari ini.
Ditanya kes penyalahgunaan dana sumbangan orang ramai yang berlaku baru-baru ini, Kamal percaya pada awalnya pihak yang terbabit sama ada individu atau NGO berniat baik untuk mengadakan kempen bagi membantu mereka yang memerlukan.
Namun katanya, sumbangan wang banyak mungkin mengaburi mata mereka hingga menyebabkan timbul isu yang tidak sepatutnya.
“Banyak lagi NGO lain yang telus dalam mengendalikan sumbangan dan seperti Ensany Malaysia, orang ramai sebelum buat sumbangan boleh melawat laman web kami untuk mengetahui aktiviti di seluruh dunia dan di dalam negara.
“Pada masa sama, kami juga berkongsi semua aktiviti itu di laman sosial bagi mewarwarkan setiap wang sumbangan itu sampai ke mereka yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Kamal memberitahu, pihaknya menyasarkan dana bagi Program Ensany Global Peace & Makan Malam Amal sebanyak RM600,000 untuk disalurkan kepada Kempen Gaza Palestin dan Kempen RM5 For Hunger.
Kata beliau, acara akan diadakan di IDCC Shah Alam, Selangor yang menampilkan selebriti popular seperti Kumpulan Rabbani, Lah Ahmad, Mawi dan Oja.
Menurutnya, pogram itu juga menampilkan Sheikh Abdul Karim Al Makki yang merupakan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan membaca doa dan alunan ayat suci Al Quran, dan DJ Pyan IKIM Fm sebagai pengacara program tersebut. – MalaysiaGazette