KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merayu dan berharap pemimpin Pas supaya bersabar.
Ia susulan peletakan jawatan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berharap Pas tidak mengambil tindakan yang disifatkan seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.
“Saya berharap, saya doakan dan merayu rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal ditanya berkenaan isu peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai Bendahari Agung PN berkuat kuasa semalam, yang berlaku secara tiba-tiba.
Memetik laporan portal Harakahdaily semalam, pengumuman peletakan jawatan oleh Menteri Besar Terengganu berkenaan dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Samsuri telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pengurusan PN.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pucuk pimpinan PN berhubung keputusan Ahmad Samsuri tersebut.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal mengakui beliau tidak tahu mengenai punca sebenar Ahmad Samsuri membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
“Saya tidak tahu punca beliau letak jawatan, itu hanya (antara) beliau dengan Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.
Hubungan Pas dan Bersatu sebelum ini sedikit tegang susulan kontroversi mengenai calon yang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri daripada gabungan PN.
Ia berikutan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan Muhyiddin sebagai calon tepat bagi jawatan itu, namun disanggah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang berpandangan calon daripada parti Islam itu lebih layak.
Polemik berhubung jawatan itu berterusan selepas Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette