KUALA LUMPUR â Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa semua pihak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak menjadikan kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan sebagai percaturan politik.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.
Katanya, kepentingan politik tidak boleh mengatasi soal undang-undang, adab serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
âSebarang pertikaian hendaklah ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan baginda dan mencemar kemuliaan institusi diraja,â katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat AMK hari ini.
AMK turut menyifatkan polemik yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai perkara serius dan meminta semua pihak mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam menanganinya.
Muhammad Kamil berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Agama Islam negeri juga perlu dihormati dan sebarang penyelesaian mestilah mengambil kira prinsip keadilan, adab serta proses adat.
âMalaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Semua pihak wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.
âKeangkuhan politik tidak wajar digunakan untuk menginjak prinsip asas yang telah termaktub sejak sekian lama,â tegasnya.
Dalam pada itu, AMK turut menggesa kerajaan Madani membentangkan laporan berkaitan FELDA serta institusi lain termasuk MARA dan NAFAS yang dikaitkan dengan isu penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.
Menurut Muhammad Kamil, rakyat perlu mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung, perkembangan pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
âMempertahankan institusi utama ini bermakna menjaga integriti serta manfaatnya kepada rakyat dan Bumiputera.
âInstitusi yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan Bumiputera tidak seharusnya dijadikan tempat untuk mana-mana pihak mengaut kekayaan,â katanya.
Bagi isu anak muda, AMK mahu kerajaan memberi perhatian kepada peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang lebih baik, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial, khususnya kepada pekerja gig.
Katanya, golongan pekerja gig perlu diberikan kadar upah yang adil, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas.
Isu perumahan juga perlu diberi perhatian supaya golongan muda mempunyai peluang memiliki kediaman serta membina kehidupan yang lebih stabil.
âKita mahu perkara ini diterjemahkan dalam Belanjawan Madani 2027 yang akan datang,â katanya.
Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Muhammad Kamil berkata, AMK sudah memperkemas jentera di beberapa DUN tumpuan dan mengemukakan beberapa nama calon muda untuk pertimbangan kepimpinan pusat PKR.
Katanya, sebarang bentuk kerjasama politik pada PRN Melaka perlu memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
âRakyat sudah letih dengan percaturan kuasa serta amalan membahagi kedudukan dan jawatan.
âKerjasama politik tidak boleh sekadar menjadi âmarriage of convenienceâ. Manfaat kepada rakyat Melaka mesti menjadi pertimbangan utama,â katanya lagi.
Dalam mesyuarat itu, AMK turut mengumumkan tiga pelantikan baharu iaitu Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi AMK; Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan dan Mohamad Iqbal Farok sebagai Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette
















