KUALA LUMPUR: Biro Penyelarasan Orang Awam MCA menyokong sepenuhnya penganjuran himpunan aman bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’ serta kempen Hands Off NGO.
Himpinan aman itu dirancang diadakan esok, di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini.
Pengerusinya, Saw Yee Fung berkata, skandal ‘mafia korporat’ telah mencetuskan kebimbangan awam, malah turut mendapat perhatian pelbagai pihak sama ada di blok kerajaan atau pembangkang.
Menurutnya, ia merupakan isu serius, bukan terpencil dan tidak boleh ‘disapu bawah karpet’.
“Ia bukan sahaja menjejaskan integriti agensi penguatkuasaan negara dan badan antirasuah, malah turut melemahkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap pasaran serta kedaulatan undang-undang di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sejak awal skandal itu tercetus, MCA dan pelbagai pihak lain telah mendesak agar RCI ditubuhkan supaya siasatan secara telus, terperinci dan menyeluruh dapat dijalankan.
Amat malang ujarnya, apabila Kerajaan Madani bukan sahaja dilihat menutup mata dan memekakkan telinga terhadap desakan itu.
Malah, dakwanya, laporan siasatan Jawatankuasa Khas mengenai isu pegangan saham berlebihan yang melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, masih senyap sepi dan belum pernah didedahkan kepada umum sehingga hari ini.
“Adakah ini yang dimaksudkan dengan ketelusan dan akauntabiliti sepertimana dilaung-laungkan oleh parti pemerintah diterajui Pakatan Harapan (PH)?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai bersama-sama memberi tekanan kepada kerajaan untuk melaksanakan tuntutan tersebut.
Tegas beliau, MCA terus komited dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap pemerintahan kerajaan. – MalaysiaGazette
















