JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar berharap UMNO dan Pas tidak agar tidak bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor itu mahu kerjasama tersebut berjalan lancar sekali gus dapat mengembalikan semula kestabilan politik di negara ini.
Jelasnya, kerjasama dan persefahaman kedua-dua parti politik Melayu terbesar di negara itu merupakan sebab utama beliau kembali menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Noh berpendapat, kebarangkalian untuk kedua-dua parti tersebut menang dalam pilihan raya akan menjadi lebih tinggi sekiranya kerjasama itu dijalinkan.
“Kerjasama itulah perjuangan saya selama ini, itulah harapan saya apabila kembali semula ke Rumah Bangsa. Perjuangan saya adalah agar UMNO dan Pas tidak bertembung antara satu sama lain.
“Bukan bergabung, cuma jangan bertembung. Kalau ini boleh dilaksanakan ia akan beri semangat baharu kepada politik negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Arowana Emas Pertama Malaysia 2026 di R&F Mall Johor Bahru di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau bersyukur kerana melihat perkembangan semasa menunjukkan kerjasama dan persefahaman sedemikian hampir menjadi realiti menjelang pilihan raya tersebut.
“Saya bersyukur dengan apa yang diucapkan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, nampaknya kita menuju ke arah itu, insya-Allah akan berlaku.
“Jika kekal seperti di PRN Negeri Sembilan, itu yang terbaik, itu harapan saya. Anthony Loke juga kalah (semasa bertanding dalam PRN Negeri Sembilan),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 72 peserta terlibat dalam kejohanan tersebut yang menawarkan 26 hadiah semuanya bernilai RM100,000.
Noh memberitahu, semua peserta adalah dari Malaysia dan pertama kali diadakan di negeri itu. – MalaysiaGazette
















