Timbalan Perdana Menteri yang juga pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis Musyawarah Nasional Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Semua pihak diingatkan agar tidak terburu-buru melabel sebagai derhaka atau biadab sebelum memahami kedudukan dan tanggungjawab setiap institusi yang terlibat dalam sesuatu pertikaian.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semua pihak perlu menjadikan Perlembagaan sebagai asas dalam memahami institusi kesultanan, adat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Tanpa menyebut mana-mana individu secara langsung, kenyataan itu dibuat susulan polemik berkaitan krisis adat dan pentadbiran di Negeri Sembilan termasuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai biadab dan tidak bertamadun.

“Kedudukan dan tanggungjawab setiap institusi perlu diperhalusi sebelum sesuatu pertikaian dinilai, janganlah label derhaka dan biadab.

“Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan sambil memelihara martabat institusi bukan bercakap di atas kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO terus menjunjung institusi diraja dan tertib Perlembagaan, termasuk kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Atas dasar ini jugalah UMNO menjunjung institusi raja dan tertib perlembagaan termasuk kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

“Perbedaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja,”tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri membantah keras tindakan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan yang didakwa mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan menyifatkannya sebagai satu langkah biadab dan tidak bertamadun.

Ismail bagaimanapun menegaskan tindakannya bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak bertujuan mengambil alih kuasa Undang Yang Empat.

Ismail berkata, kenyataan Perdana Menteri itu mungkin dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam isu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here