MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan terus membongkar kebenaran sejarah negeri itu yang disembunyikan penjajah dengan membawa pulang manuskrip dan artifak berharga dari luar negara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia termasuk usaha yang akan dilakukan untuk membawa pulang manuskrip berkaitan sejarah Laksamana Hang Tuah yang dikatakan tersimpan di Vatican City.
“Vatican City tersimpan satu sejarah yang akan merubah
kehebatan Hang Tuah kerana dalam catatan yang dituliskan oleh Leonardo da Vinci, arkitek Kota Venice dan pelukis potret terkenal Mona Lisa, melakarkan satu ungkapan amat kagum dengan kehebatan laksamana muda dari Melaka kerana datang ke Rome berjumpa dengan Maharaja Rome,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Musyawarah itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ab Rauf, lawatannya ke Vatican itu diatur Arkib Negara Malaysia yang dijangka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu ujarnya, dicadangkan sendiri oleh pihak Arkib Negara kepada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.
“Pengarah Arkib Negara membisikkan kepada saya,
dia kata Datuk, saya sedang mengaturkan lawatan rasmi Datuk ke Vatican City,” jelasnya.
Sebelum ini, kata beliau, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pernah melawat Vatican City dan melihat sendiri manuskrip yang melaporkan kehebatan Laksamana Hang Tuah.
“Saya mendapat wasiat ini daripada Almarhum Tun Ahmad Sarji yang telah berjaya masuk ke kotak sejarah Vatican City, melihat warkah ini untuk diambil balik bawa ke Melaka dan dibentangkan semula bahawa Hang Tuah pernah sampai ke Vatican City,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan forum bagi memberi pemahaman baharu terhadap kekeliruan sejarah Melaka yang dilakukan penjajah.
“Saya akan mengadakan forum dengan Majlis Persatuan Sejarah
untuk melihat dan mengkaji semula kebengkokan sejarah yang dibuat oleh penjajahan ini mesti diluruskansupaya generasi akan datang tidak terpesong dengan fakta-fakta palsu,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















