KUALA LUMPUR – Kes kematian pelajar di Kuala Pilah sekali lagi membangkitkan persoalan mengapa isu buli di sekolah masih berulang walaupun pelbagai dasar, garis panduan dan mekanisme pencegahan sudah diperkenalkan.
Naib Presiden Gerakan, Datuk G. Parameswaran berkata, kerajaan perlu melihat isu berkenaan sebagai masalah sistemik yang memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh bukan menganggap setiap kes sebagai kejadian terpencil.
Menurut beliau, corak sama dilihat berulang apabila setiap tragedi disusuli siasatan, pengumuman tindakan dan langkah pencegahan sebelum perhatian terhadap isu berkenaan kembali reda.
“Ini bukan lagi soal berapa banyak kempen anti-buli yang mahu kita lancarkan atau berapa banyak garis panduan yang mahu kita keluarkan.
“Soalan yang perlu dijawab ialah kenapa mekanisme yang sudah ada masih gagal memastikan pelajar benar-benar selamat di sekolah?” soalnya kepada MalaysiaGazette.
Parameswaran berkata, kerajaan perlu menilai semula keberkesanan sistem pengurusan buli di sekolah termasuk mekanisme aduan, pemantauan asrama, peranan warden, guru dan kaunselor serta tindakan susulan terhadap laporan yang diterima.
Katanya, sesuatu aduan tidak boleh berakhir selepas laporan pertama dibuat tanpa pemantauan berterusan terhadap keselamatan pelajar terbabit.
“Kalau seorang pelajar membuat aduan hari ini, siapa yang akan memastikan keadaannya dipantau minggu depan dan bulan berikutnya?
“Kalau berlaku aduan berulang terhadap pelajar atau kumpulan yang sama, siapa yang akan campur tangan dan pada tahap mana tindakan lebih tegas akan diambil?” soalnya lagi.
Parameswaran turut menegaskan mangsa tidak sepatutnya menanggung akibat daripada kegagalan sistem dengan terpaksa berpindah kelas atau asrama bagi mengelakkan gangguan.
“Jangan sampai mangsa yang perlu berkorban untuk mendapatkan keselamatan, sedangkan pembuli terus berada dalam sistem yang sama.
“Kita perlu memastikan sekolah mempunyai keberanian dan kapasiti untuk campur tangan lebih awal,” tegasnya.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menetapkan ukuran keberkesanan yang jelas terhadap setiap dasar dan program anti-buli yang dilaksanakan.
Parameswaran berkata, keselamatan pelajar tidak seharusnya hanya menjadi perhatian apabila berlaku tragedi kerana ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan kepercayaan mereka berada dalam persekitaran yang selamat.
“Jangan tunggu satu lagi keluarga kehilangan anak sebelum kita sedar bahawa pendekatan sedia ada tidak mencukupi. Sudah terlalu banyak kita bercakap mengenai buli. Sekarang rakyat mahu melihat perubahan yang boleh dirasakan oleh pelajar, ibu bapa dan guru.
“Kitaran buli, tragedi, siasatan dan kemudian dilupakan ini mesti dihentikan,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















