N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Kematian seorang pelajar di Kuala Pilah yang kini dikaitkan dengan dakwaan buli dan kemungkinan berlaku kekerasan kembali membangkitkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah serta keberkesanan mekanisme menangani buli.

Perkembangan terbaharu kes itu turut mencetuskan tuntutan supaya siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti apa sebenarnya berlaku kepada mangsa sebelum ditemui tidak sedarkan diri.

Penaung dan Presiden Pertubuhan Dinamik Sinar (DSK), Datuk N. Sivakumar berkata, perkara paling membimbangkan ialah isu buli masih berulang sehingga membabitkan keselamatan dan nyawa pelajar.

“Sampai bila kita perlu hadam isu pelajar dibuli, dipukul dan akhirnya berlaku tragedi sebelum kita benar-benar bertindak?

“Setiap kali berlaku kes seperti ini, kita bercakap mengenai siasatan, tindakan dan pencegahan. Tetapi selepas beberapa ketika, berlaku lagi kejadian yang hampir sama. Persoalannya, di mana silapnya?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, siasatan terhadap kes berkenaan tidak wajar hanya tertumpu kepada kejadian ketika mangsa ditemui tidak sedarkan diri, sebaliknya turut meneliti apa yang berlaku sebelum tragedi itu.

Sivakumar mahu pihak berkuasa menentukan sama ada terdapat tanda awal, aduan, ancaman atau kejadian membabitkan mangsa yang mungkin boleh dikesan dan ditangani lebih awal.

“Kalau benar ada unsur buli atau kekerasan, kita perlu tahu bagaimana ia boleh berlaku dan sama ada terdapat pihak yang mengetahui mengenainya sebelum tragedi ini berlaku.

“Jika ada aduan pernah dibuat, siapa yang menerima aduan itu dan apakah tindakan susulan? Ini semua perlu dijawab melalui siasatan,” tegasnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan sebelum siasatan lengkap, namun proses berkenaan perlu dilakukan secara telus supaya keluarga mangsa mendapat jawapan yang sewajarnya.

“Jangan kita hukum sesiapa sebelum fakta diperoleh, tetapi jangan juga perkara ini berhenti setakat siasatan. Jika ada kecuaian, kelemahan atau kegagalan melaksanakan tanggungjawab, tindakan sewajarnya perlu diambil,” ujar beliau.

Sivakumar berkata, buli tidak boleh terus dianggap sebagai masalah disiplin biasa kerana kesannya boleh menjadi serius kepada keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

“Kita perlu ubah pendekatan. Buli mesti dilihat sebagai isu keselamatan pelajar dan bukan sekadar kesalahan disiplin,” jelasnya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan menilai semula keberkesanan sistem aduan dan intervensi buli di sekolah termasuk memastikan setiap aduan pelajar diberikan perhatian serta tindakan susulan.

“Jangan tunggu sehingga seorang pelajar cedera atau kehilangan nyawa baru kita bertanya apa yang berlaku.

“Kalau mekanisme sedia ada tidak cukup berkesan, perbaiki. Kalau ada kelemahan dalam sistem, tutup ruang kelemahan itu. Yang paling penting, kita jangan tunggu tragedi seterusnya,” tegas Sivakumar.

Dalam masa sama, beliau menyeru supaya siasatan kes Kuala Pilah tidak dipengaruhi spekulasi atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Sivakumar berkata, tragedi berkenaan seharusnya menjadi titik untuk mengubah pendekatan terhadap isu buli, daripada hanya bertindak selepas kejadian kepada usaha mengesan, mencegah dan menghentikannya lebih awal.

“Kita mahu tindakan yang benar-benar dapat memastikan tidak ada lagi keluarga terpaksa kehilangan anak kerana kegagalan kita menangani masalah buli,” tambahnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes pelajar dakwa dibuli: Asyraf gesa siasatan segera, telus dan tindakan tegas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here