KUALA LUMPUR – Penganjur acara larian di ibu negara tidak boleh sesuka hati menetapkan laluan sehingga menyebabkan terlalu banyak jalan ditutup dan mengganggu pergerakan orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu perlu diselaraskan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis khusus bagi acara yang melibatkan penutupan jalan di pusat bandar.
Beliau tidak bersetuju dengan tindakan segelintir penganjur yang mahu menentukan sendiri laluan larian tanpa mengambil kira kesannya terhadap pengguna jalan raya.
“Saya tak suka apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur di mana setiap penganjur acara sukan larian, mereka suka nak 10 kilometer dan mereka nak laluan sendiri.
“Saya tak boleh terima kalau setiap minggu laluan yang kita tutup, jalan yang kita tutup itu berbeza. Ia akan menjadikan orang keliru. Orang tak tahu jalan mana yang ditutup dan mereka akan terperangkap,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Pembersihan Mega Hari Cuci Malaysia dan lawatan turun padang meninjau kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Batu Muda, Batu 4 ½, Jalan Ipoh di sini pagi ini.
Hannah berkata, penutupan jalan secara berlebihan bagi sesuatu acara larian tidak sepatutnya berlaku sehingga menyusahkan pengguna untuk memasuki atau keluar dari pusat bandar.
“Untuk satu larian sahaja, 30 jalan ditutup. Saya tak boleh terima ini. Tidak suka bila orang tak boleh masuk ke bandar. Ini sama juga untuk kawasan pusat bandar,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu DBKL, polis dan urus setia yang meluluskan acara di pusat bandar bekerjasama menetapkan laluan tetap bagi penganjuran larian.
Jelasnya, laluan boleh ditetapkan mengikut jarak larian supaya penganjur tidak menentukan sendiri jalan yang mahu ditutup.
“Saya nak kerjasama daripada DBKL dan pihak polis serta urus setia yang meluluskan acara-acara di pusat bandar supaya kita ada laluan tetap.
“Tiga kilometer, ini laluannya. Lima kilometer, ini laluannya dan tak boleh penganjur tutup-tutup ikut laluan mana yang mereka nak,” katanya.
Hannah berkata, perkara itu penting kerana Kuala Lumpur menerima kemasukan lebih sejuta orang setiap hari dan sebarang penutupan jalan perlu diuruskan dengan lebih teratur.
Ujarnya, penganjur yang tidak bersetuju dengan laluan ditetapkan boleh memilih lokasi lain yang kurang memberi kesan kepada aliran trafik.
“Ini adalah kota raya yang sibuk. Saya tak nak orang balik sejam tunggu. Kalau mereka tak suka laluan yang kita tentukan, mereka boleh pergi tempat lain untuk anjurkan larian yang mungkin tak banyak kenderaan.
“Di Kuala Lumpur, setiap hari lebih daripada satu juta orang masuk ke Kuala Lumpur. Jadi saya nak larian ini tersusun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















