KUALA LUMPUR – Peruntukan RM28.12 juta untuk kerja penyelenggaraan di PPR Batu Muda bukan sekadar angka, sebaliknya melibatkan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan lebih 10,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, jumlah itu antaranya digunakan untuk menggantikan 21 lif dengan kos RM11.69 juta, penurapan semula jalan bernilai RM1.46 juta serta kerja membaik pulih taman permainan yang melibatkan RM278,000.
Beliau berkata demikian pada Program Pembersihan Mega Hari Cuci Malaysia dan lawatan turun padang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bagi meninjau kerja penyelenggaraan di PPR Batu Muda, Batu 4 ½, Jalan Ipoh di sini hari ini.

Menurut Fadlun, kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan masih diteruskan dengan RM5.6 juta diperuntukkan bagi penggantian kabel subutama yang dijadual bermula Oktober ini.
Selain itu RM9.1 juta lagi dirancang pada 2027 bagi kerja mengecat semula bangunan.
Katanya, PPR Batu Muda yang hampir dua dekad menjadi kediaman lebih 10,000 penduduk memerlukan penyelenggaraan berterusan sejajar dengan usia bangunan dan perubahan keperluan penghuninya.
“Sebab itu tahun ini, DBKL memperuntukkan RM300 juta khusus untuk kerja penyelenggaraan di kesemua 51 lokasi PA dan PPR di Kuala Lumpur.
“Kita tidak mahu penyelenggaraan dibuat secara kecil-kecilan atau hanya apabila masalah menjadi besar. Ia perlu dirancang, diberi peruntukan dan dilaksanakan secara menyeluruh,” ujarnya.

Jelasnya, peruntukan RM28.12 juta di PPR Batu Muda merupakan sebahagian daripada komitmen DBKL memastikan kemudahan asas di kawasan perumahan awam terus berada dalam keadaan baik.
“Bagi penghuni di sini, yang mereka perlukan bukan angka besar. Mereka mahu lif yang sampai ke tingkat mereka, jalan yang selamat dilalui dan rumah yang terus terpelihara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















