KUALA LUMPUR – Perintah penggantungan terhadap Perikatan Nasional (PN) perlu menjadi langkah menghentikan tindakan unilateral yang didakwa mengetepikan Majlis Tertinggi (MT), parti anggota serta Perlembagaan gabungan itu, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau berkata, berdasarkan aduan yang dikemukakan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), terdapat dakwaan pelanggaran aturan, kaedah, tadbir urus dan Perlembagaan PN yang berlaku secara berulang.
Katanya, antara dakwaan berkenaan termasuk Bersatu tidak dilibatkan dalam mesyuarat tertentu, keputusan MT PN tidak dilaksanakan atau dilengahkan serta tindakan yang bertentangan dengan keputusan badan tertinggi gabungan itu.
“Keputusan-keputusan dasar PN tidak seharusnya disanggah, diubah atau ditentukan secara unilateral oleh individu yang bukan anggota MT PN di luar mesyuarat MT PN.
“Tidak boleh ada mana-mana pihak atau individu yang dibenarkan bertindak secara sewenang-wenangnya dengan mengetepikan Perlembagaan serta keputusan-keputusan dasar yang telah diputuskan oleh MT PN,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Tun Faisal berkata, rundingan dengan parti luar tanpa penglibatan atau pengetahuan MT PN dan parti anggota serta tindakan unilateral turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam aduan Bersatu.
Beliau berpandangan terdapat kewajaran untuk perintah penggantungan dibuat di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 jika langkah itu bertujuan menghalang pertubuhan daripada terus melanggar atau mencabuli peruntukan akta, peraturan atau kaedah pertubuhan.
Menurutnya, berdasarkan kronologi yang diketengahkan, perubahan kepengerusian dan pentadbiran PN didakwa menyaksikan pelanggaran serius terhadap aturan dan Perlembagaan gabungan itu secara berulang.
Dalam pada itu, RoS menjelaskan perintah penggantungan semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lalu bukan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan.
RoS berkata, tindakan itu dibuat di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.
Pada 11 Ogos lalu, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat MT PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette
















