KUANTAN – Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) disaran bermuhasabah dan bersikap profesional dengan menjawab notis dan akur perintah penggantungan Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Ketua Penerangan Bersatu Pahang, Zakaria Abdul Hamid berkata, keputusan dibuat RoS adalah adil selepas mendengar keterangan daripada kedua-dua belah pihak, iaitu pengadu (Bersatu) dan pentadbir PN iaitu Pas.
“Bersatu Pahang kesal dengan tuduhan bobrok Pas dan Wawasan berhubung perintah penggantungan dikeluarkan RoS terhadap PN.
“Tuduhan dan naratif sempit ini hanyalah bertujuan meraih simpati atau ‘play victim’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, RoS sudah mendengar penjelasan dan meneliti bukti daripada kedua-dua belah pihak dan membuat keputusan untuk menggantung aktiviti PN sebelum tindakan seterusnya termasuk kemungkinan membatalkan pendaftaran PN.
Tindakan RoS itu katanya, membuktikan aduan Bersatu mengenai perlanggaran Perlembagaan PN dan penafian hak Bersatu sebagai anggota parti mempunyai asas dan merit.
“Bersatu Pahang menyarankan Pas dan Wawasan bermuhasabah dan bersikap profesional dengan menjawab notis RoS dan akur perintah penggantungan PN,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan terhadap gabungan itu adalah niat jahat serta tekanan politik daripada pihak-pihak dari dalam dan luar gabungan berkenaan berhubung keputusan penggantungan tersebut.
Beliau juga dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan RoS menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lepas di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan berkenaan.
Sementara itu, Wawasan dalam kenyataannya pula membantah tindakan RoS menggantung PN dan mempersoal kewujudan “tangan ghaib” di sebalik notis yang dikeluarkan serentak dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. – MalaysiaGazette
















